Bot karam, tekong dan 10 awak-awak warga Filipina selamat

Bot karam, tekong dan 10 awak-awak warga Filipina selamat

Sandakan: Sebuah bot nelayan Filipina yang karam di sempadan perairan negara berjaya diselamatkan di Pulau Bakungan Kecil, di sini, hari ini.

Kejadian yang disedari Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi Radar CSS (Coastal Surveillance Station) pada jam 9.50 pagi itu terus disalurkan kepada Philippine Maritime Command Centre (MCC) untuk menyelaras operasi menyelamat luar sempadan perairan Malaysia.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil daripada maklumat berkenaan, operasi menyelamat terus dilaksanakan oleh Pasukan Marin Filipina dari Pulau Taganak.

Bot nelayan Filipina berkenaan karam di kedudukan 2.3 batu nautika Timur Laut CSS, Pulau Bakungan Kecil.
Pix Ihsan ATB2

Katanya, operasi berkenaan kemudiannya berjaya menyelamat awak-awak bot karam di kedudukan 2.3 batu nautika dari Timur Laut CSS Pulau Bakungan Kecil.

“Seramai 10 awak-awak bersama seorang Tekong warganegara Filipina berjaya diselamatkan oleh Marin Filipina.

“Semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan kejadian dipercayai berlaku disebabkan kebocoran di bahagian badan bot akibat pukulan ombak kuat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Karim berkata, dalam masa sama, KD PAUS turut diaturgerakkan ke sekitar lokasi bot nelayan Filipina karam bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.

Katanya, maklumat kejadian turut disalurkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk tindakan selanjutnya.

“Tahniah kepada anggota bertugas di POWB ATB 2 dan radar CSS Pulau Bakungan Kecil atas kejayaan pengesanan bot karam berkenaan.

“Ini membuktikan sistem radar milik MK ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan keselamatan sempadan Perairan Pantai Timur Sabah berada ditahap tertinggi.

“Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa peranan radar turut menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah operasi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, anggota tentera yang beroperasi diingatkan supaya sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menghadapi sebarang cabaran dan rintangan.

Katanya, anggota beroperasi juga perlu sentiasa menjaga keselamatan diri terutama ketika negara berada di fasa Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November lalu dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2022.

“Hujan lebat dan tiupan angin kencang dijangka berterusan boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Pantai Timur Sabah.

“Namun begitu, situasi dan keadaan monsun berkenaan bukannya menjadi halangan serta kekangan kepada setiap anggota yang bertugas untuk memastikan misi menjaga kedaulatan negara tercinta sentiasa diperkasakan dengan kukuhnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|