Kota Marudu: Banjir gelombang kedua diisytiharkan berlaku di daerah ini dan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi memindahkan mangsa banjir.
Difahamkan, usaha memindahkan mangsa di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan dan PPS Dewan SK Teratipan sedang dilakukan oleh agensi penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong berkata, berdasarkan maklumat dari lapangan dan laporan yang diterima, diisytiharkan bahawa berlaku banjir gelombang kedua di daerah ini.
“Ia disahkan berikutan paras air mencecah paras bahaya di kawasan Kampung Beliajung bermula jam 6.15 petang tadi.
“Saya mengarahkah agar operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa di lapangan dilakukan segera manakala PPS dibuka serta merta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana (Banjir) Daerah Kota Marudu berkata, Bilik Gerakan Bencana Daerah Kota Marudu turut dibuka dan semua petugas jabatan diminta bertugas sesuai tugas dan jadual yang telah ditetapkan.
“Semua PPS dibenarkan dibuka sesuai situasi dari laporan di lapangan. PKOB Banjir (Kota Marudu) telahpun diaktifkan sebelum ini dan secara rasminya digerakkan sepenuhnya,” katanya.
-Deasoka