UPKO mahu politik profesional jadi amalan mulai 2022

UPKO mahu politik profesional jadi amalan mulai 2022

Kota Kinabalu: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berharap permulaan tahun baharu 2022 akan membawa semua ahli politik ke arah politik profesional.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, untuk tujuan itu beliau mencadangkan supaya platform merentas parti dan ideologi diwujudkan segera.

“Pembaharuan dan reformasi undang-undang dan institusi negara diharap dapat dilakukan dengan segera dan menyeluruh demi kepentingan setiap pemegang taruh.

“UPKO, selaku komponen Pakatan Harapan (PH), akan terus memperjuangkan kepentingan politik profesional demi rakyat dan negara.

“Bagi tujuan ini, UPKO mencadangkan diwujudkan platform merentasi parti dan ideologi politik dengan segera,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2022, di sini, hari ini.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2021 yang lalu, beliau menekankan harapan UPKO agar semua parti mengutamakan gencatan politik bagi membolehkan rakyat menikmati dan menghayati kestabilan negara.

“Rakyat sudah penat dengan polemik dan krisis politik yang tiada kesudahan. Bagi mencapai hasrat itu, saya menekankan keperluan politik profesional yang pada pandangan saya dapat memulihkan kestabilan dan keyakinan rakyat.

“Malangnya, kita terus berhadapan dengan polemik mengenai defisit kestabilan holistik yang kita dahagakan. Sentimen ini disusuli dengan perubahan kerajaan persekutuan pada Ogos lalu iaitu kali ketiga dalam tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Sehubungan itu, Madius berkata, UPKO berpendirian tegas dan mengulangi bahawa semua parti politik perlu menggandakan usaha melahirkan politik profesional yang mengutamakan kepentingan rakyat di kedua-dua peringkat, negeri dan persekutuan.

“Pandemik, krisis politik yang berterusan dan banjir buruk dengan sendiri menunjukkan bahawa negara memerlukan strategi pentadbiran dan pengurusan yang konstruktif bagi mengembalikan kegemilangan dan pada masa sama memperkasa keyakinan serta kepercayaan pemegang taruh.

“Hanya pendekatan politik profesional yang mampu membawa kita ke arah itu. Kepimpinan politik profesiomal adalah jawapan kepada segala krisis yang negara alami sekarang,” katanya.

Tambah Madius lagi, rakyat memberi mandat dengan memilih wakil rakyat dan kerajaan dengan harapan negara akan terus berada dalam kedudukan yang lebih baik dari setahun ke setahun bagi mewujudkan persekitaran yang cukup meyakinkan.

“Malangnya, negara terus menyaksikan defisit keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan, wakil rakyat dan Parlimen.

“Jadi, UPKO berharap kerajaan akan lebih terbuka untuk membawa kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar akan ada politik profesional dalam mentadbir negara dan menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|