7 ahli ASG ditahan bekerja di ladang

7 ahli ASG ditahan bekerja di ladang

Kota Kinabalu: Tujuh ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) yang ditahan di kawasan rumah pekerja Ladang Borhill di Pulau Timbang, kelmarin dipercayai bekerja di ladang berkenaan sambil menunggu peluang melakukan jenayah penculikan.

Mereka dilihat seperti menyelam sambil minum air ketika bekerja di negara ini sementara menunggu peluang melakukan penculikan untuk meraih keuntungan mudah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara terbabit dikesan berdasarkan hasil risikan dan siasatan yang dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan operasi ke atas kumpulan ASG di Taman Seri Arjuna Beaufort, 8 Mei lalu.

Katanya, hasil operasi pasukan keselamatan terdiri daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), dan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, seramai 25 lelaki ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

“Pecahan tangkapan iaitu 11 lelaki adalah warga Filipina dan daripada jumlah itu tujuh lelaki disahkan oleh pihak keselamatan Filipina adalah ahli kumpulan Abu Sayyaf dari beberapa clan di Sulu, Filipina.

“14 lagi lelaki adalah warga Indonesia di mana lapan dibebaskan selepas majikan menunjukkan dokumen dan permit kerja,” katanya.

Sementara itu, Hazani mengingatkan pemilik ladang di negeri ini supaya sentiasa berhati-hati ketika ingin mengambil pekerja.

“Pemilik ladang diingatkan supaya tidak mengambil pekerja-pekerja yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Janganlah mengutamakan keuntungan semata-mata dengan mengambil pekerja tanpa dokumen. Pemilik ladang perlu lebih berhati-hati jika ingin mengambil pekerja dari luar,” katanya.

Tegas beliau lagi, pihaknya akan terus menjalankan siasatan bagi mengesan saki baki kumpulan Abu Sayyaf di negeri ini.

Dalam insiden jam 5 pagi tadi, dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditembak mati di Pulau Timbang, di sini.

Mereka dikenalpasti merancang untuk melakukan penculikan di kawasan pulau berkenaan membabitkan pemilik ladang kelapa sawit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|