Gula dijual RM5 sekilogram, lelaki ditahan

Gula dijual RM5 sekilogram, lelaki ditahan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati menjalankan aktiviti menjual gula pada harga mencecah RM5 sekilogram.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, lelaki berusia 25 tahun itu turut didapati beroperasi tanpa lesen yang sah di Jalan Lintas, di sini.

Ketua Pegawai penguat kuasa Pejabat KPDNHEP Tuaran, Saripudin Moleng berkata, serbuan dilakukan hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan pasukannya.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui sebanyak 96 kilogram gula pasir kasar di dalam kenderaan miliknya

“Lelaki tempatan terbabit ditahan selepas disyaki menjual gula tanpa lesen sah yang dikeluarkan KPDNHEP.

“Suspek turut didapati menjual gula pada harga mencecah RM5 bagi setiap satu kg mengikut lokasi pembeli dan harga itu melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM2.85,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Saripuddin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menjual gula itu secara tempahan di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

“Nilai keseluruhan sitaan lebih RM12,000 termasuk 96 kilogram gula berjumlah RM273.60,” katanya.

Sehubungan itu, Saripudin memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan ketika berhadapan pandemik Covid-19 dengan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyorokkan barang kawalan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|