Dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditembak mati, merancang melakukan penculikan

Dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditembak mati, merancang melakukan penculikan

Sandakan: Dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditembak mati di Pulau Timbang, di sini, dikenalpasti merancang untuk melakukan penculikan di kawasan pulau berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, siasatan awal mendapati salah seorang daripada individu yang ditembak mati adalah perancang utama kegiatan penculikan.

Katanya, mereka merancang untuk melakukan penculikan terhadap pemilik-pemilik ladang kelapa sawit di kawasan pulau berkenaan.

“Hasil daripada maklumat yang diperolehi, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melancarkan operasi di kawasan perumahan pekerja Ladang Borhill.

“Pasukan keselamatan kemudiannya berjaya menembak mati dua lelaki disyaki kumpulan pengganas Abu Abu Sayyaf (ASG),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, hari ini.

Hazani berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, kedua-dua lelaki ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan.

Katanya, polis berjaya merampas senjata api yang digunakan oleh kedua-dua suspek di lokasi kejadian dan menahan 25 lelaki di kawasan sama.

“Hasil pemeriksaan lanjut, tujuh daripada 11 lelaki Filipina yang ditahan dikenalpasti ahli kumpulan Abu Sayyaf.

“Manakala lapan daripada 14 lelaki warga Indonesia dibebaskan selepas menunjukkan majikan menunjukkan dokumen dan permit kerja,” katanya.

Hazani berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya percaya beberapa orang lelaki berjaya melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|