Senjata api buatan sendiri, bangkai haiwan buruan dirampas

Senjata api buatan sendiri, bangkai haiwan buruan dirampas

Kota Marudu: Bunyi tembakan membongkar kegiatan pemburuan haram dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) di kawasan Hutan Simpan berhampiran Kampung Ranggal, Pitas, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 8.30 malam itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan dan pemantauan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi, pasukan operasi menemui kesan aktiviti pemburuan haram yang dipercayai ditinggalkan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui satu laras senjata api buatan sendiri atau bakakuk.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemui tiga butir peluru, dua bangkai binatang iaitu pelanduk dan sebilah parang.

“Satu daripada tiga butir peluru sudah digunakan manakala dua lagi adalah kelongsong hidup.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3,245 termasuk dua ekor pelanduk yang dipercayai ditembak mati dalam aktiviti pemburuan haram berkenaan,” katanya ketika dihubung, hari ini.

Mohd Abduh berkata, barang rampasan sudah diserahkan kepada pihak polis manakala bangkai haiwan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 25 (2) (a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|