Sabah merakamkan tahniah kepada PM baharu

Sabah merakamkan tahniah kepada PM baharu

Kota Kinabalu: Perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah bertepatan atas kelayakan dan pengalaman diperlukan untuk memimpin negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian ketika merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Katanya, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong penuh perlantikan Ismail Sabri dan mengharapkan hubungan kerajaan negeri-persekutuan ini akan membuahkan hasil.

“Ia diharap bukan hanya mempercepatkan usaha membangunkan negeri ini tetapi juga yang antara lain mengambil kira hak-hak Sabah.

“Kami akan meneruskan perjuangan ini dan isu-isu berkenaan dengan hak, keutamaan dan keperluan Sabah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hajiji berkata, dengan penyelesaian pergolakan kepemimpinan di peringkat Persekutuan, semua pihak harus bersatu mengenepikan perbezaan dan terus bergerak untuk memerangi pandemik COVID-19 serta membangunkan kembali ekonomi negara.

Katanya, Kerajaan GRS turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmatnya kepada rakyat dan negara serta sokongan dan sumbangannya kepada Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|