Utamakan pemimpin Sabah, Sarawak untuk jawatan TPM – Jeffrey

Utamakan pemimpin Sabah, Sarawak untuk jawatan TPM – Jeffrey

Kota Kinabalu: Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) wajar diberi keutamaan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak dalam Kabinet baharu kerajaan Pusat yang akan dibentuk dalam masa terdekat.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pertimbangan itu mengambil kira sumbangan kedua-dua negeri, khususnya Sarawak yang banyak menyumbang jumlah sokongan pencalonan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Memang wajar kita diberi pertimbangan untuk jawatan TPM khususnya Sarawak yang paling banyak menyumbang sokongan kepada pemilihan Perdana Menteri, jadi kita harap perkara ini diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

“Soal siapa calon Timbalan Perdana Menteri itu bukan satu masalah bagi saya kerana yang penting ialah jawatan itu diberikan kepada pemimpin dari sini tetapi yang pastinya ialah dari Sarawak,” katanya kepada pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur, petang ini.

Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau yakin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan tergugat berikutan perubahan tampuk kerajaan Pusat.

Katanya, semua parti di bawah gabungan itu sentiasa berbincang dan saling menekankan kerjasama serta komitmen memastikan apa yang berlaku di Semenanjung tidak akan berlaku di Sabah.

“Kami juga ada berbincang dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kami semua sependapat supaya kerajaan GRS dipertahankan,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata kemelut politik yang berlaku di Kuala Lumpur diharap selesai dengan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Katanya, tumpuan selepas ini perlu diberikan sepenuhnya kepada isu dan masalah yang dihadapi sekarang iaitu menangani pandemik Covid-19 dan kebajikan rakyat.

“Dalam masa sama saya harap juga Kabinet baharu akan mengambil kira dan memberi tumpuan kepada isu Sabah dan Sarawak, hubungan negeri – Pusat, khususnya hak-hak kita dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selepas ini saya harap tiada lagi kemelut politik atau perebutan Perdana Menteri atau apa-apa saja sehingga Parlimen dibubarkan untuk diserah kepada rakyat menentukan mandat baharu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|