Ismail Sabri sah PM ke-9

Ismail Sabri sah PM ke-9

Kuala Lumpur: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada jam 2.30 petang esok.

Pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dimaklumkan melalui kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, petang ini.

Menerusi kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu diputuskan selepas baginda berpuas hati terhadap jumlah sokongan yang diterima Ismail Sabri melalui akuan bersumpah (SD) 220 Ahli Parlimen yang mencalonkan nama Perdana Menteri kepada Istana Negara kelmarin (18 Ogos).

Ahmad Fadil berkata, berdasarkan SD berkenaan, seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, membolehkannya memperolehi majoriti cukup untuk membentuk kerajaan.

“Susulan itu Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam (19 Ogos) untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas Ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda berkenan melantik Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan,” katanya.

Katanya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu itu, kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu itu, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan semua Ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|