7 ahli Abu Sayyaf akan didakwa sebelum dihantar balik

7 ahli Abu Sayyaf akan didakwa sebelum dihantar balik

Kota Kinabalu: Tujuh ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan di Pulau Timbang, Sandakan, baru-baru ini akan dakwa sebelum diekstradisi balik ke negara Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu bagaimanapun masih dalam perbincangan bersama dengan pihak berkuasa Filipina.

Katanya, semua individu yang ditahan terbabit mungkin akan didakwa mengikut Akta Imigresen sebelum dihantar pulang.

“Kita percaya, semua tujuh suspek ini mempunyai rakan sekutu lain tetapi mungkin sudah melarikan diri berikutan operasi berterusan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.

“Kita juga percaya semua ketujuh-tujuh suspek yang berjaya ditahan ini adalah sebahagian daripada kumpulan yang merancang penculikan di Sandakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tadika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, pihaknya percaya, dalang kegiatan itu yang mati ditembak atau ditangkap di daerah Beaufort dan Pulau Timbang sebelum ini merancang untuk menculik pemilik ladang di sekitar perairan pantai timur Sabah.

Namun katanya, rancangan itu terpaksa ditangguhkan buat masa ini ekoran usaha pemantauan berterusam yang dilakukan pihak berkuasa di Sabah.

“Polis amat serius untuk mematahkan segala perancangan yang dilakukan kumpulan militan Abu Sayyaf ini kerana kita tidak mahu mereka menjadikan Sabah sebagai kubu kuat atau tempat persembunyian mereka.

“Kita akan ambil tindakan yang lebih agresif termasuk mengumpul maklumat risikan dari semasa ke semasa. Usaha ini juga mendapat sokongan penuh daripada pihak ESSCOM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Sehubungan itu, Hazani menasihati pemilik ladang supaya tidak memberikan ruang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, mereka perlu membuat pengesahan dari aspek dokumentasi untuk sekurang-kurangnya mempunyai maklumat siapa individu yang diambil bekerja.

Dalam kejadian 17 Mei lalu, polis berjaya menembak mati lima lelaki dipercayai ahli Kumpulan Abu Sayyaf di sebuah penempatan haram di kawasan hutan Taman Sri Arjuna, Beaufort.

Dalam kejadian itu, polis turut berjaya merampas pelbagai senjata api yang digunakan dalam insiden berbalas tembakan dengan pihak berkuasa negeri ini.

Susulan kejadian itu, PDRM sekali lagi berjaya menembak mati dua ahli kumpulan Abu Sayyaf dalam operasi di Pulau Timbang, Sandakan, 20 Ogos lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|