Lahad Datu: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, berpeluang mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Mobilisasi Vaksinasi Covid-19 (Movak) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tawaiyari, di sini.
Pemimpin Unit Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Segama, Mizma Appehdullah, berkata program itu sangat memudahkan penduduk dari kawasan terpencil dan jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19.
“Saya amat mengakui program vaksinasi terutama kepada masyarakat di kawasan terpencil luar bandar seperti di kawasan Segama ini amat sukar dilaksanakan.
“Ia disebabkan oleh beberapa faktor logistik yang mengehadkan pergerakan kita. Namun, berkat kerjasama dan semua pihak membantu kelompok ini agar tidak tercicir daripada menerima vaksin, kita dapat melaksanakan tanggungjawab ini sehabis baik.
Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Segama, Mizma Apehdullah berbual bersama petugas barisan hadapan ketika program vaksinasi jangkauan luar di SK Tawaiyari, Lahad Datu.
“Semua ini adalah bukti komitmen kita di pihak UPPM, juga pentadbiran negeri dan kerajaan Pusat bahawa tidak ada yang akan terlepas pandang dalam program vaksinasi ini dan kita juga akan terus fokus memastikan program ini mencapai sasaran yang kita tetapkan,” katanya, di sini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang belum divaksin agar memanfaatkan sepenuhnya peluang seumpama itu sebagai satu usaha pencegahan mengurangkan risiko jangkitan dan penularan Covid-19.
“Ini adalah tanggungjawab kita semua untuk melindungi diri dan masyarakat sekeliling daripada bahaya Covid-19.
“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan program ini berjalan lancar dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita akan meneruskan program ini di setiap lokaliti agar semua rakyat mendapat manfaat,” katanya.
Sehingga kini, katanya kawasan DUN Segama merekodkan seramai 77,671 orang atau 42.5 peratus daripada penduduk kawasan itu sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 50,345 (27.5 peratus) selesai melengkapkan dua dos suntikan.
-Deasoka