Tun Sakaran ditahan di ICU akibat jangkitan Covid-19

Tun Sakaran ditahan di ICU akibat jangkitan Covid-19

Kota Kinabalu: Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai dilaporkan menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles, di sini akibat jangkitan Covid-19.

Keadaan Sakaran yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu dikongsikan cucunya, Ahmad Marzuki Nasir melalui laman Facebook beliau tengah hari tadi.

Dalam perkongsiannya, Ahmad Marzuki yang juga Pengurus Pasukan Sabah FC, memohon agar kenalan beliau mendoakan kesembuhan untuk datuknya itu.

“Assalamualaikum wbt. Mohon doakan kesembuhan buat Nenda Tun Sakaran Dandai yang sedang berada di ICU Gleneagles Hospital akibat jangkitan Covid-19.

“Semoga Allah SWT berikan kesembuhan kepada Sakaran bin Dandai seperti sedia kala, diangkat segala sakitnya dan diterima semua amal baiknya. Aamin Ya Allah Ya Mujib,” katanya.

Sakaran, 91, menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah kelapan dari 1995 hingga 2002 dan Ketua Menteri Sabah pada Mac 1994 hingga Disember 1994.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Semporna dari 1986 hingga 1995 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang mewakili USNO dan kemudian UMNO sebelum bersara daripada politik apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1995.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|