Tadika KEMAS IPK Sabah sedia tabur bakti

Tadika KEMAS IPK Sabah sedia tabur bakti

Kota Kinabalu: Pembukaan bangunan baru Tadika Kemas Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah akan memberi manfaat besar kepada anak-anak warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, ia akan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, selamat dan selesa bukan saja kepada pelajar tetapi juga kepada tenaga pengajar.

Katanya, ia berikutan keadaan bangunan lama yang sudah mulai usang dan terdapat lantai kayu yang mereput membahayakan pelajar dan guru-guru.

“Menyedari keadaan itu, kita melakukan perbincangan untuk menempatkan semula tadika ini ke kawasan yang lebih strategik demi kepentingan semua pihak.

“Hasil usaha berterusan Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Sabah, Mohd Azmi Omar, cadangan itu sampai ke pengetahuan pihak Kemas Negeri Sabah dan akhirnya dipersetujui,” katanya ketika berucap merasmikan Tadika Kemas IPK Sabah, hari ini.

Hazani berkata,kerja-kerja pembinaan kelas Tadika Kemas ini bermula sejak Mac tahun ini dan siap sepenuhnya pada Jun lalu dengan kos sebanyak RM170,000.

Katanya, atas inisiatif dan rasa tanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak warga PDRM, kos ini ditanggung sepenuhnya daripada sumbangan awam dan peribadi banyak pihak.

“Saya secara peribadi dan mewakili seluruh warga PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para penyumbang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|