Lelaki mengamuk disyaki dibawah pengaruh dadah

Lelaki mengamuk disyaki dibawah pengaruh dadah

Beaufort: Seorang lelaki yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah bukan saja mengamuk malah bertindak memecahkan harta benda milik Majlis Daerah Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, suspek berusia 50 tahun terbabit dikatakan memecahkan pasu bunga dan merosakkan perhiasan landskap menggunakan besi serta kayu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek disyaki melakukan kerosakkan berkenaan selepas berada dibawah pengaruh dadah jenis syabu.

Katanya, sebaik kejadian merosakkan harta benda dilakukan suspek, polis menerima laporan daripada abang suspek yang memaklumkan kejadian itu.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat, sepasukan polis melakukan operasi memburu dan menahan suspek.

“Suspek akhirnya berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 3, Kuala Penyu, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, sebaik ditahan, siasatan lanjut terus dilakukan termasuk mengarahkan suspek menjalani ujian saringan air kencing.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek juga adalah penjawat awam dan tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|