1F1K inisiatif UMS perkasa keusahawanan pelajar

1F1K inisiatif UMS perkasa keusahawanan pelajar

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif melaksanakan program 1 Fakulti 1 Keusahawanan (1F1K) bagi menyokong dan memperkasa aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata program itu dilaksanakan melalui Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) sebagai pendedahan kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Program ini juga akan menjadi platform kepada pelajar untuk mengetengahkan idea perniagaan secara kreatif sambil berpeluang untuk menjana pendapatan sepanjang tempoh pengajian di UMS.

“Melalui program ini, PKPKP akan melantik wakil keusahawanan di setiap fakulti bagi memantau aktiviti keusahawanan sama seperti Penasihat Kerjaya yang memantau aktiviti berteraskan pemantapan kerjaya bakal graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran program berkenaan yang dibuat secara dalam talian melalui platform Google Meet dan Laman Facebook rasmi PKPKP, semalam.

Taufiq menambah, bidang keusahawanan penting sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara selain dapat memberikan peluang pekerjaan kepada bakal graduan.

“Mentaliti graduan yang memilih untuk bergantung kepada kerja makan gaji sahaja hendaklah diubah dan saya percaya istilah pencipta pekerjaan bukanlah baharu dalam era digital.

“Hikmah pandemik yang melanda dunia membuka mata kita mengenai betapa mustahak untuk memiliki asas kemahiran dan pengetahuan dalam bidang berkaitan digital.

“Perkara ini seiring dengan hasrat negara untuk melahirkan usahawan digital yang lebih ramai dalam kalangan generasi muda seperti yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PKPKP, Dr Soon Singh Bikar Singh berkata pelaksanaan program berteraskan keusahawanan giat dilaksana dan dibudayakan dalam kalangan pelajar UMS.

“Ini dilakukan sama ada melalui program dalam kuliah seperti program Asas Pembudayaan Keusahawanan mahupun luar kuliah seperti aktiviti Kelab Keusahawanan.

“Bagaimanapun, program 1F1K ini diformulasikan sesuai dengan aliran semasa generasi muda yang mana konsep ‘learn and earn’, digitalisasi perniagaan dan mentor di fakulti diharapkan dapat memberi nafas baharu kepada usaha murni ini,” katanya.

Soon Singh turut menyampaikan penghargaan kepada wakil industri yang bersama UMS dalam merealisasikan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi – Program Peningkatan Kerjaya (KPT-CAP) sejak tahun lalu.

“Tanpa gerak kerja bersama pemain industri agak sukar untuk pihak universiti mencapai hasrat memberi pendedahan alam usahawan dan kerjaya sebaiknya kepada bakal graduan dan alumni UMS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|