Tiada bacaan bil elektrik di kawasan PKPD – SESB

Tiada bacaan bil elektrik di kawasan PKPD – SESB

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak melaksanakan operasi membaca meter pengguna di kawasan yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor, berkata tindakan itu diambil dalam usaha membendung penularan Covid-19 melalui kontak dengan pelanggan.

“Keputusan ini dibuat bukan saja untuk keselamatan warga kerja SESB, malah juga orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelasnya, operasi bacaan meter dan penyerahan bil fizikal kepada pengguna akan disambung semula apabila keadaan pandemik di kawasan PKPD dilaporkan pulih.

Justeru itu, katanya akaun pengguna di kawasan PKPD masih dibilkan secara anggaran di dalam sistem SESB berdasarkan kepada amaun bil pada bulan sebelumnya.

“Bil anggaran ini akan diselaraskan apabila bacaan sebenar di tapak dan penyerahan bil secara fizikal disambung semula kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Idris menasihati pengguna untuk mendaftar dalam sistem Online Customer Service (OCS) SESB di https://ocs.sesb.com untuk menyemak bil terkini.

Beliau juga menyarankan kepada pengguna supaya mengemas kini data masing-masing bagi memudahkan informasi terkini mengenai perkhidmatan SESB disalurkan kepada mereka.

Selain itu, katanya pengguna juga boleh membuat semakan sendiri bil elektrik dengan membuat bacaan sendiri iaitu mengambil bacaan terkini di meter elektrik premis atau rumah masing-masing.

“Catatkan bacaan terkini pada meter elektrik dan semak perbandingan melalui bil elektrik terakhir yang diterima. Contohnya bacaan terkini pada meter adalah 61,701 kWh dan ‘bacaan semasa’ pada bil terakhir adalah 61,069 kWh iaitu perbezaan sebanyak 632 kWh.

“Seterusnya pengguna boleh melayari Kalkulator Tarif Negeri Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan melalui pautan https://www.sesb.com.my/content/tariff-calculator-st dengan memasukkan nilai perbezaan itu untuk mendapatkan jumlah bil sebenar,” katanya.

Pengguna juga katanya boleh mengemukakan maklumat bacaan meter ke nombor whatsapp rasmi SESB di talian 019- 852 5427 atau emel ke komersil@sesb.com.my.

Sementara itu, beliau berkata pengguna yang berada di kawasan PKPD boleh membuat pembayaran bil elektrik melalui perbankan secara dalam talian atau melalui ejen kutipan seperti Shoppee, Lazada e-Wallet, My Boost e-Wallet dan Paynow e-Wallet.

Jelasnya, SESB juga bersedia untuk menerima sebarang pertanyaan dan urusan berkaitan perkhidmatan SESB melalui SESB Careline 15454, 088- 515000 atau melalui Whatsapp 019- 852 5427.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|