Kota Kinabalu: Sabah sudah menerima sebanyak 53,000 dos kumpulan pertama vaksin dos tunggal CanSino yang tiba di negeri ini semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, berkata ia akan disusuli ketibaan kumpulan seterusnya sehingga akhir Ogos ini.
Katanya, ketibaan vaksin berkenaan akan membantu usaha JKNS menggiatkan lagi aktiviti jangkauan luar di kawasan pedalaman dan sukar dicapai dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan terus melaksanakan pemberian vaksin secara terus atau ‘walk-in’ di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Jelasnya, langkah itu bagi memberi peluang kepada semua penduduk di negeri ini untuk menerima vaksin dalam usaha mempercepat pencapaian imuniti kelompok dan mengurangkan risiko jangkitan teruk Covid-19.
“Saya menyeru semua penduduk Sabah mesti mengambil vaksin Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa mereka dan keluarga.
“Daripada data JKNS, didapati 80 peratus hingga 90 peratus pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah mereka yang tidak divaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sehingga kini, katanya 53.3 peratus penduduk dewasa Sabah iaitu yang berumur 18 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 31.4 peratus sudah melengkapkan dua dos vaksin.
Beliau menjelaskan, vaksinasi penting sebagai langkah pencegahan bagi berdepan risiko jangkitan Covid-19 yang kini berleluasa dalam komuniti yang mana semua orang berisiko untuk menjangkiti dan dijangkiti.
“Pada masa ini juga tindakan pencegahan di peringkat individu adalah kunci utama menghalang penyebaran virus ini.
“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) iaitu sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan terbuka, mengamalkan penjarakan fizikal satu meter, tidak bersentuhan dan kerap mencuci tangan mesti dilakukan di mana saja berada,” katanya.
-Deasoka