Polis ‘mandi debu’ laksana Op Bantu

Polis ‘mandi debu’ laksana Op Bantu

Tenom: Terpaksa bermandikan debu selain mengharungi jalan tidak sempurna lebih dua jam untuk sampai ke Kampung Rundum, Kemabong, di sini.

Itu antara cabaran anggota dan pegawai pasukan polis bagi menjayakan program Op Bantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 30 keluarga.

Demi tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat, cabaran itu tidak menjadi penghalang kepada pasukan polis untuk terus menjayakan program berkenaan.

Bagi Koperal Sabhi Julahi, ini adalah pengalaman baharu walaupun sudah beberapa kali menyertai Op Bantu.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berkata, mereka yang duduk di bahagian belakang pacuan empat roda terpaksa bertahan dan ‘makan habuk’ sepanjang perjalanan ke lokasi.

“Kami sudah beberapa kali mengikuti program Op Bantu tetapi ini kali pertama pengalaman perjalanan sangat mencabar sehingga baju seragam kami dipenuhi habuk dan debu tanah.

“Walaupun begitu, kami tetap menguatkan semangat untuk bertahan berdepan cabaran yang ada disepanjang perjalanan,” katanya ketika berkongsi pengalaman kepada wartawan.

Sabhi berkata, dia bersama dua rakannya, Koperal Md Muzafar Azrin Khan Abdul Hasan dan Koperal Fidelis Alla merasakan itu adalah salah satu pengalaman paling berharga untuk mereka sepanjang bertugas sebagai anggota PDRM.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, program kali ini menyumbangkan sebanyak 30 bakul makanan kepada penduduk di kampung berkenaan.

Katanya, walaupun kampung ini pernah dimajuman sebagai pusat pelancongan pada tahun 2019, namun ia terpaksa ditutup ekora pandemik Covid-19.

“Sebaik ditutup, ia menyebabkan ramai penduduk hilang punca pendapatan dan terpaksa bergantung kepada hasil pertanian.

“Namun, keadaan jalan tidak berturap serta terlalu jauh dari pekan utama menyebabkan hasil pertanian penduduk sukar untuk dipasarkan,” katanya.

Yusuh berkata, PDRM menerusi inisiatif Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, Asisten Superintendan Zukri Abidin,
melakukan tapisan bagi mengenalpasti 30 keluarga yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Aida Ansio, 46, berkata, dia bersyukur dengan sumbangan yang disampaikan pihak polis.

Katanya, ia sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ketika kebanyakan penduduk terjejas ekoran pandemik Covid-19z

“Rata-rata penduduk di sini adalah petani, sama ada sebagai penoreh getah atau menanam kopi. Namun disebabkan penularan wabak Covid-19, kami sukar untuk memasarkan hasil tani ke Daerah Tenom.

“Dengan adanya bantuan ini, kami tidak perlu turun ke pekan Tenom untuk mendapatkan bekalan makanan buat sementara waktu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|