457 karton minuman keras tanpa cukai dirampas

457 karton minuman keras tanpa cukai dirampas

Kota Kinabalu: Menggunakan premis restoran menjual makanan Islam sebagai salah satu tempat penyimpanan. Itu taktik digunakan sindiket penjualan minuman keras tidak bercukai yang dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan berkenaan berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah yang merampas 457 karton minuman keras dalam operasi Op Kontraban, yang dijalankan di pekan Tamparuli, semalam.

Restoran yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras.(Gambar ihsan PGA Sabah)

Dalam operasi jam 1.40 petang itu, pasukan PGA yang bertindak atas maklumat awam turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun bagi membantu siasatan lanjut.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil tangkapan awal berkenaan, pasukan PGA berjaya menemui 54 karton minuman keras yang disimpan di dalam sebuah van.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail.

Katanya, dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudiannya menemui 123 karton pelbagai jenis minuman keras yang disembunyikan di sebuah restoran makanan Islam.

“Hasil soal siasat lanjut, suspek kemudiannya menunjuk arah ke sebuah lagi premis kedai yang menyimpan 280 karton minuman keras.

“Suspek terbabit bersama barangan rampasan kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Van dengan muatan minuman keras tanpa cukai.(Gambar ihsan PGA Sabah)

Mohd Abduh berkata, semua minuman keras yang dirampas ini tidak bercukai.

Suspek bersama minuman keras tidak bercukai yang dirampas melalui Op Kontraban oleh PGA Sabah. (Gambar ihsan PGA Sabah)

Katanya, rampasan kali ini membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM 100,847 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Deasoka

tamat

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|