Pelonggaran SOP di Sabah, Salleh zahir sokongan penuh kepada Hajiji

Pelonggaran SOP di Sabah, Salleh zahir sokongan penuh kepada Hajiji

Kota Kinabalu: Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Salleh Said Keruak menyokong sepenuhnya tindakan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelonggaran SOP di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya mengajak semua rakyat untuk memahami konteks negara kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara, bukannya Perintah Kawalan Pergerakan.

“Seharusnya kita tumpukan perhatian kepada pemulihan Sabah dengan penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) mengikut situasi terkini.

” Saya percaya Kerajaan Negeri sudah mengambil kira dan pertimbangan semua faktor dalam perkara ini.

“Oleh itu, Kerajaan Pusat patut menghormati keputusan dan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata demikian dalam hantaran terbaru di media sosial (Facebook), pagi ini.


Salleh terdahulu mengulas mengenai isu pendekatan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang memberi pendekatan terhadap pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, pengumuman Hajiji berhubung kelonggaran beberapa aktiviti yang dibenarkan terutamanya dine in di restoran atau kedai makan mencetus kekeliruan ekoran terdapat segelintir pihak mendakwa ianya tidak relevan kerana keperincian SOP belum dikeluarkan setakat ini.

Semalam, Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataan berkata, SOP berhubung kelonggaran aktiviti dan ekonomi di Sabah telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat dan pihak Kerajaan Negeri masih menunggu ketetapan kewartaannya dalam tempoh terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|