Tindakan longgar SOP perlu dilihat positif: Bung

Tindakan longgar SOP perlu dilihat positif: Bung

Kota Kinabalu: Tindakan kerajaan Sabah melonggarkan sebahagian prosedur standard operasi (SOP) dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Pertama di negeri ini perlu dilihat secara positif.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, keputusan kerajaan negeri itu adalah berlandaskan data dan fakta selain jumlah kes harian yang masih ditahap sederhana berbanding di beberapa buah negeri di Semenanjung.

“Selaku pemimpin di Sabah, keputusan kerajaan negeri ini adalah satu keputusan bersama setelah perbincangan dibuat dan saya berdiri teguh dibelakang keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Namun kita juga tidak menafikan kehendak dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat dan sudah pasti kita semua mahu penularan wabak Covid-19 ini dapat dicegah dan ditamatkan segera,”katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) disini hari ini.

Bung yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, keputusan melonggarkan sebahagian SOP itu juga bagi mempertingkatkan lagi ekonomi negeri Sabah dalam pelbagai industri.

“Namun jika ada SOP yang boleh datangkan penularan jangkitan tinggi, sudah pasti kerajaan negeri tidak akan longgarkan.

“Apa yang penting sekarang, kerajaan perlu percepatkan vaksinasi kepada seluruh rakyat di Malaysia termasuk di Sabah,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|