4 lelaki warga Filipina ditahan, cuba seludup 3,500 liter petrol

4 lelaki warga Filipina ditahan, cuba seludup 3,500 liter petrol

Semporna: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menggagalkan cubaan sekumpulan empat lelaki warga Filipina menyeludup keluar 3,500 liter petrol dan tong gas di perairan Pulau Siamil, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.25 malam itu, tiga bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan dikesan oleh Radar Coastal Surveillance Station (CSS) di Pulau Danawan yang bergerak laju dari arah Pulau Siamil menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia berhampiran Pulau Sitangkai, Filipina.

100 tong berisi petrol yang dirampas. Pix Ihsan ATB 2

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, berdasarkan maklumat itu, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 menugaskan sepasukan anggota yang berada di kawasan Op Pasir Selatan melaksanakan pintasan.

Katanya, pasukan kemudian berjaya membuat pintasan dan menahan dua bot laju berkenaan manakala sebuah bot lagi dapat meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

Empat lelaki warga Filipina ditahan selepas cuba menyeludup keluar petrol dan tong gas. Pix Ihsan ATB 2

“Kedua-dua bot kemudian ditahan dan ditunda ke Jeti Pulau Siamil untuk pemeriksaan terperinci disebabkan laut yang bergelora.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan terdiri daripada empat orang lelaki warga Filipina berusia antara 19 hingga 50 tahun dan tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut ditemui sebanyak 100 tong berisi minyak petrol berjumlah 3,500 liter berada di dalam setiap bot dan empat tong gas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Karim berkata, hasil keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM61,776.

“Bot berkenaan ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seterusnya kedua-dua bot ditunda ke Jeti Kem Azumi dan semua awak-awak bot dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut selepas menjalani ujian saringan Covid-19 dan semua mereka negatif,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerjasam erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada ditahan yang terbaik dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran perairan Pantai Timur Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|