Lantikan Pengerusi MPN bidang kuasa Presiden PKR

Lantikan Pengerusi MPN bidang kuasa Presiden PKR

Penampang: Lantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di bawah bidang kuasa Presiden parti, kata Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Ahli Parlimen Tawau itu berkata, akan mengenal pasti apa sebenarnya yang 16 Ketua Cabang berkenan mahu.

“Kita kena sahkan Ketua Cabang itu dan apa yang mereka mahukan.

“Saya terlalu sibuk kerana saya bekerja keras dan cuba mempromosikan parti dan saya tidak tahu apa tujuan mereka buat begini,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Agenda Generasi Digital Menjelang PRU15, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desakan 16 Ketua Cabang untuk menukar beliau sebagai Pengerusi MPN Sabah.

Christina turut berkata, kerisauannya pada masa ini adalah apabila tidak dapat membantu mempromosikan parti bagi berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya tidak mahu kejadian di Sarawak berulang semasa PRU dan itu kerisauan saya. Maka, saya mahu memberi fokus untuk membawa PKR terus bergerak ke hadapan bagi memastikan kita mampu memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU-15. Ini keutamaan saya,” katanya.

Semalam, seramai 16 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini mendesak supaya beliau digugurkan sebagai Pengerusi MPN Sabah.

Pada awal bulan ini juga, turut dilaporkan 17 daripada 26 Ketua Cabang PKR Sabah didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menolak beliau sebagai Pengerusi MPN di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|