Bom ikan dirampas

Bom ikan dirampas

Semporna: Sebuah perahu ditahan selepas didapati membawa peralatan bom ikan dalam operasi di sekitar Laut Pulau Selakan, di sini, semalam.

Kegiatan berkenaan dikesan kira-kira jam 4 petang hasil operasi pemantauan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus cuba menghampiri perahu berkenaan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, semasa menghampiri perahu berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, suspek bertindak melarikan diri.

“Suspek memecut perahu ke kawasan air cetek sebelum dilihat bertindak terjun dari perahu melarikan diri ke Pulau Selakan.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis ikan dan beberapa peralatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,700 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, rampasan diserah kepada Jabatan Perikanan Semporna dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|