Gunting rambut percuma, hadiah Krismas untuk penduduk Kepayan

Gunting rambut percuma, hadiah Krismas untuk penduduk Kepayan

Kota Kinabalu: Prihatin dengan golongan yang memerlukan, pemilik sebuah pusat kecantikan, di sini, tampil memberi perkhidmatan mengunting rambut secara percuma kepada orang ramai di kawasan Kepayan.

Pemilik pusat kecantikan dikenali sebagai Katty memaklumkan bahawa beliau dibantu oleh enam sukarelawan yang juga ‘hair stylist’ dalam program berkenaan.

Salah seorang kanak-kanak di kawasan Kepayan yang mendapatkan perkhidmatan memotong rambut secara percuma dalam program yang dilaksanakan di Pejabat STARSabah bahagian Kepayan, Kota Kinabalu.

“Walaupun sumbangan ini tidak seperti kebanyakkan program kebajikan yang lebih tertumpu kepada barangan bakul makanan dan kewangan tetapi kami percaya ada lagi rakyat yang mahu dibantu melalui cara lain.

“Sebab itu kami menyumbangkan tenaga dan kepakaran kepada rakyat yang memerlukannya dengan secara percuma,” katanya pada program gunting rambut secara percuma yang diadakan di Pejabat STARSabah bahagian Kepayan, di sini, semalam.

Jafery (berbaju biru) bersama sebahagian sukarelawan yang menjayakan program perkhidmatan potong rambut secara percuma di Pejabat STARSabah bahagian Kepayan, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kepayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jafery Jomion, program kebajikan itu adalah ‘hadiah’ sempena hari Natal yang bakal disambut pada hujung minggu ini.

“Program ini dianjurkan oleh seorang pengusaha salon kecantikan yang juga merupakan Bendahari Sayap Wiranita Bahagian Kepayan.

“Penduduk di kawasan Kepayan di bawah Parlimen Penampang terutama kanak-kanak menerima hadiah sempena perayaan Krismas iaitu mendapat perkhidmatan memotong rambut secara percuma terutama kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang berkemampuan.

Jafery berkata, lagi, program itu tidak akan terhenti setakat itu saja sebaliknya akan diteruskan di sekolah, pusat jagaan orang tua dan juga anak yatim dalam masa terdekat.

“Menyedari keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi, program ini akan diteruskan dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban keluarga di kawasan ini.

“Bayangkan sekiranya satu keluarga dapat jimatkan RM50 sebulan untuk perbelanjaan potong rambut dan sudah semestinya wang itu boleh dijadikan sebagai simpanan atau digunakan untuk keperluan harian,” katanya.

Terdahulu, turut menjayakan program ini, Ketua Wiranita Bahagian Kepayan, Debby Jayne dan Timbalan Setiausaha Bahagian Mitchell.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|