GRS boleh timbulkan masalah jika didaftar – Abdul Rahman

GRS boleh timbulkan masalah jika didaftar – Abdul Rahman

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh diteruskan sebagai perjanjian politik yang longgar di Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata gabungan itu mungkin menimbulkan masalah jika didaftarkan menjadi gabungan politik rasmi seperti disuarakan beberapa pemimpin sebelum ini.

Katanya, beberapa kekeliruan boleh timbul khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu diketuai oleh pemimpin di peringkat persekutuan.

“Pada pandangan peribadi saya, GRS boleh diteruskan melalui ‘loose agreement’, cuma kalau didaftarkan akan timbul masalah lain, siapa ketua kita (UMNO), agihan kerusi nanti siapa yang sampaikan watikah?

“Untuk menjaga kepentingan kerajaan negeri, UMNO menyokong GRS, begitu juga di peringkat Pusat, UMNO boleh bekerjasama tanpa perlu menyertai Perikatan Nasional (PN),” katanya selepas menyempurnakan persidangan UMNO Tuaran, hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata rakyat juga akan keliru jika terlalu banyak jajaran politik diwujudkan di negara ini.

Berikutan itu, katanya UMNO mahu kembali kepada jajaran asal sebelum ini bersama dengan BN.

“Kita bimbang rakyat keliru jika terlalu banyak jajaran politik, jadi kita mahu kembali kepada asal. UMNO kembali kepada BN, bertanding tanpa kerjasama dengan BERSATU. Itu keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) sebelum ini,” katanya.

Namun demikian katanya, walaupun bertanding secara ‘solo’ pada pilihan raya nanti, UMNO masih terbuka menjalin kerjasama bagi menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua gabungan politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang perlu menjuarai ciri-ciri nilai menyeluruh yang dikehendaki rakyat dalam era politik masa kini.

Abdul Rahman berkata selain menjuarai aspek ekonomi yang dilaksanakan BN sebelum ini rakyat turut melihat nilai sejagat seperti dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) ketika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita sudah melihat selepas PRU 2018 ada perubahan dituntut oleh rakyat dalam politik. Parti seperti BN sudah penuhi agenda ekonomi dan pembangunan.

“PH pula dilihat menjuarai nilai sejagat, berteraskan kerajaan terbuka anti rasuah, anti salah guna kuasa, reformasi demokratik, hak wanita, hak keluarga dan kini semakin ramai fikir mengenai perubahan iklim,” katanya.

Berikutan itu, katanya pada PRU-15, kedua-dua aspek itu mesti dijuarai oleh parti yang mahu menang, sama ada BN atau PH.

“Tapi pada pandangan saya BN lebih mudah menjuarai kedua-dua itu. PH sukar kerana orang tidak percaya, UMNO dan BN ada ‘track record’, ia lebih mudah menjuarai kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran, berkata UMNO bahagian Tuaran menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Tuaran mewakili BN pada PRU-15.

Katanya, ini adalah waktu terbaik untuk menawarkan diri bertanding di Tuaran selepas Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan lagi komponen BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|