Kota Kinabalu: Lebih 4,000 kilogram sampah dikutip dalam sesi pembersihan sepanjang pesisir pantai Taman Awam Teluk Likas, di sini, hari ini.
Operasi selama 10 jam yang bermula seawal jam 4 pagi itu disertai seramai 150 kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu terdiri bahagian pembersihan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) dan Jabatan Landskap (JL).
Antara lokasi pembersihan yang dijalankan adalah sekitar jalan bulatan Wisma Perindustrian sehingga Anjung Selera.
Antara sampah yang dikutip termasuklah bekas botol minuman plastik, beg plastik, pembungkus makanan plastik, ranting dan dahan kayu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, aktiviti berkenaan ialah bertujuan bagi memastikan kawasan tepi pantai sehingga jalan raya sekitar bandar raya berada dalam keadaan bersih setiap kali tibanya musim tengkujuh.
“Kita dapati kebanyakan sampah yang dikutip adalah jenis sisa tidak mudah terurai dalam tempoh masa yang singkat.
“Sisa plastik buangan seumpama ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malahan berbahaya dan dapat memusnahkan hidupan marin, burung dan kerangan di laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Noorliza berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan supaya masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sama ada di darat mahupun di lautan.
“Pelbagai kempen kesedaran turut diwujudkan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dan kepekaan terhadap keperluan membuang sampah dengan cara yang betul.
“Ia bagi melindungi serta menjaga alam sekitar selain kebersihan bandar raya namun tanggungjawab itu sentiasa ditinggalkan kepada pihak berkuasa tanpa sokongan mahupun komitmen daripada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Noorliza memaklumkan semua sisa dan sampah yang dikutip sepanjang program pembersihan akan
dikumpul dan dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang.
-Deasoka