16 pemimpin PKR Sabah desak gugurkan Christina

16 pemimpin PKR Sabah desak gugurkan Christina

Kota Kinabalu: Seramai 16 Enam pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini mendesak Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Christina Liew digugurkan.

Ketua Cabang Keningau, Datuk Dr Sangkar Rasam menerusi kenyataan bersama berkata, desakan itu dibuat oleh Ketua Cabang, Pimpinan Wanita Negeri, Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri, Pimpinan Srikandi Negeri dan Ahli MPN lantikan.

“Kami seramai 16 Ketua Cabang, Pimpinan Wanita Negeri, Pimpinan AMK Negeri, Pimpinan Srikandi Negeri dan Ahli MPN lantikan dengan ini mendesak agar Pengerusi MPN Sabah ditukar dengan segera untuk memastikan PKR di Sabah ini bangkit semula.

“Pertukaran kepimpinan ini adalah untuk memperkukuhkan cabang-cabang, wanita dan AMK yang ada di negeri ini bagi persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut, Sangkar berkata, calon untuk menggantikan Chistina juga sudah dikenal pasti dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Calonnya dalam kalangan Ketua Cabang juga. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Presiden bagaimanapun sidang media ini hanya sebagai gambaran untuk pengetahuan umum saja,” katanya.

Sebelum ini, seramai 17 daripada 26 Ketua Cabang PKR Sabah didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menolak Christina sebagai Pengerusi MPN di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|