Kit Siang nafi DAP tidak relevan punca kalah teruk pada PRN Sarawak

Kit Siang nafi DAP tidak relevan punca kalah teruk pada PRN Sarawak

Kota Kinabalu: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menafikan DAP sudah tidak relevan dan punca parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata pelbagai faktor mempengaruhi kekalahan DAP termasuk di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang DAP sebelum ini.

“Saya tidak fikir itu kesimpulan yang patut dibuat sebab di Sarawak semalam, peratusan keluar mengundi 60 peratus. Jika bukan sebab peratusan keluar mengundi yang rendah dan pandemik Covid-19, lebih ramai pengundi akan keluar dan kita kalah di lima kerusi pun dengan majoriti kecil.

“Jika bukan sebab dua faktor ini dan sebab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan halangan seperti tidak boleh ceramah dan lain-lain, kita akan dapat buat dengan baik,” katanya kepada pemberita pada sidang media i Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kit Siang menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan tanggapan DAP sudah tidak releven.

“Di Melaka pun kita menang empat kerusi dan jika peratusan keluar mengundi tinggi, kita boleh menang lapan kerusi. Saya tidak setuju orang kata DAP tidak relevan dan saya alu-alukan mereka uji kita untuk lihat DAP tidak relevan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe mendakwa jika tidak berlaku perpecahan undi dalam kalangan pembangkang di Sarawak mungkin DAP boleh memenangi sehingga tujuh kerusi.

“Kita kalah dengan majoriti undi kecil maksudnya kami masih relevan dan saya mahu beritahu rakyat kalau bukan disebabkan undi berpecah kita akan berikan lebih baik. Sebab Pakatan Harapan (PH) kita bergaduh sesama sendiri dalam pembangkang.

“Saya fikir, ini mesej kita hantar jika mahu sebuah negara yang maju kita semua pembangkang kena bersatu dalam khemah yang besar dan bekerjasama tanpa ambil kira perbezaan,” katanya.

PRN Sarawak Ke-12 menyaksikan DAP memenangi dua daripada 26 kerusi DUN ditandingi iaitu di DUN Padungan dan DUN Pending.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|