48 projek berpusatkan rakyat dilaksanakan di Parlimen Pensiangan

48 projek berpusatkan rakyat dilaksanakan di Parlimen Pensiangan

Keningau: Sebanyak 48 projek berimpak tinggi berpusatkan rakyat (people centric) yang merangkumi pembaikan infrastruktur dan fasiliti rosak telah dilaksanakan sepanjang 2020 dan 2021.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek itu merangkumi pembaikan dewan komuniti, jambatan, balai budaya, sistem bekalan air graviti dan sebagainya.

Arthur merasmikan Jeti Kampung Buntulon di Kampung Buntulon, Pagalungan, Keningau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan pula sebanyak 24 projek pembaikan telah dilaksanakan bagi tempoh yang sama dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.59 juta.

“Contohnya Jeti Kampung Buntulon, Pagalungan, yang dirasmikan pada hari ini mencerminkan kerajaan cakna dan prihatin kepada pembangunan infrastruktur berdasarkan keperluan lokaliti setempat.

“Pembangunan tersebut turut diberi keutamaan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman selaras dengan semangat
‘keterangkuman’ di dalam Keluarga Malaysia,” katanya selepas merasmikan Jeti Buntulon, Pagalungan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata jeti itu adalah salah satu pembangunan infrastruktur asas yang signifikan kepada penduduk di sekitar kawasan Pagalungan yang menggunakan sungai sebagai kaedah pengangkutan utama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Pembaikan jeti dengan peruntukan sebanyak RM200,000 akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Kampung Buntulon dan kawasan berhampiran.

“Infrastruktur yang inklusif dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selari dengan hasrat ‘tiada yang tertinggal’ yang digariskan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya.

Sehubungan itu, dengan sokongan rakyat yang utuh, landskap politik yang stabil yang menjurus kepada pemulihan ekonomi yang lancar akan dapat merealisasikan aspriasi kerajaan memakmurkan negara dan rakyat di setiap pelusuk kawasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|