Pertahan semangat toleransi beragama – Joniston

Pertahan semangat toleransi beragama – Joniston

Kota Kinabalu: Semangat toleransi beragama harus dipelihara bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara ini yang masyarakatnya hidup berbilang bangsa dan agama.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata keupayaan rakyat Sabah untuk hidup bersama secara aman boleh menjadi contoh kepada negeri lain dan juga negara luar.

Joniston menerima cenderamata daripada Stanis Buandih selepas melancarkan sambutan Krismas di Hotel Hilton.

“Walaupun berbeza budaya dan agama, kita dikenali sebagai sebuah negeri di mana rakyatnya dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni. Keupayaan ini adalah penting dan kita harus mempertahankannya.

“Sabah mempunyai semangat toleransi beragama yang tinggi dan ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum,” katanya.

Joniston pada sambutan Krismas di Hotel Hilton.

Joniston berkata demikian pada perasmian sambutan Perayaan Hari Natal di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi LKNS, Stanis Buandih; Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison; Presiden Bumiputera Kristian Sabah, Rev Amangkil Jellin Wadak dan Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Sabah, Jesicca Basat

Sambutan Hari Natal atau Krismas itu dianjurkan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sabah, dan Persatuan Kristian Bumiputera Sabah.

Turut memeriahkan majlis itu ialah Gabungan Persatuan Cina Sabah, Persatuan Hindu Sangam Sabah, Persatuan Singh Sabha Sabah, Gabungan Persatuan-Persatuan Masyarakat India Sabah dan Majlis Gereja-Gereja Sabah.

Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata sambutan perayaan seperti Krismas adalah platform penting untuk semua lapisan masyarakat berkumpul
meraikan semangat kekitaan.

“Ini juga menjadi tarikan kepada pelancong datang ke Sabah untuk menyaksikan sendiri keunikan masyarakat di negeri ini.

“Inilah konsep Keluarga Malaysia yang diperlukan oleh negara, khususnya di Sabah bagi memastikan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya direalisasikan dengan sebaik mungkin.

“Saya berharap kepimpinan negara kita akan terus menggalakkan perayaan pelbagai agama dan budaya untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Pada majlis berkenaan, tetamu disajikan dengan persembahan khas oleh sekumpulan penari yang mewakili masyarakat berbilang kaum.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|