363 graduan Kolej SIDMA dirai dalam majlis konvokesyen

363 graduan Kolej SIDMA dirai dalam majlis konvokesyen

Kota Kinabalu: Seramai 363 penuntut Kolej SIDMA berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen ketujuh yang berlangsung bermula hari ini sehingga esok.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, kecemerlangan semua graduan walaupun berdepan kesukaran belajar secara dalam talian akibat pandemik Covid-19 adalah suatu yang perlu dibanggakan.

Mornie (kanan) menyampaikan skrol diploma kepada graduan.

“Saya dapat merasakan keperitan dan kesukaran graduan-graduan kerana buat kali pertamanya kita berdepan pandemik sebegini yang memaksa proses pengajaran dan pembelajaran diadakan secara dalam talian.

“Semua institusi pendidikan, sama ada sekolah mahu pun kolej diarahkan untuk menutup operasi seketika dan semua pembelajaran dilakukan secara dalam talian, namun akhirnya hari ini, graduan-graduan kita telah membuktikan bahawa usaha keras pasti membuahkan hasil, walaupun dugaan datang tanpa di duga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ketujuh Kolej SIDMA di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kolej SIDMA, Dr Morni Kamrie dalam ucapannya turut mengingatkan semua graduan sentiasa mengingati asal usul dan tidak melupakan jasa keluarga.

Katanya, pengorbanan ibu bapa adalah suatu bentuk kasih sayang yang tidak dapat ditukar ganti dan anak-anak yang sudah berjaya wajar membalas jasa ibu bapa.

“Selepas bergraduasi, perlu terus ingat segala pengorbanan ibu bapa, jasa mereka tidak dapat diukur dengan nilai apa pun, jadilah anak yang berbakti kepada mereka selepas berjaya, bantulah adik-beradik yang juga menjadi tulang belakang kepada kejayaan anda semua.

“Saya juga mahu semua graduan SIDMA untuk terus menimba ilmu dan tidak berhenti untuk menambah segala pengetahuan kerana ilmu adalah perjuangan yang perlu kita teruskan, walaupun sudah memasuki alam pekerjaan kelak,” ujarnya.

Terdahulu, semua graduan berkenan mengambil jurusan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.

Dua graduan dinobatkan sebagai pelajar terbaik iaitu Damien Godrey bagi Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Nur Qerina Hanisa Abdul Halim bagi Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|