3,690 pemandu e-hailing di Sabah layak terima bantuan one-off 500

3,690 pemandu e-hailing di Sabah layak terima bantuan one-off 500

Kota Kinabalu: Seramai 3,690 pemandu e-hailing di Sabah layak menerima bantuan one-off sebanyak RM500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa Satu.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Chin Kim Hiung berkata, pihaknya sudah menerima senarai nama bagi 4,627 pemandu e-hailing di seluruh negeri namun 787 daripada senarai itu ditolak permohonannya.

“LPKP Sabah sudah menerima senarai nama bagi 4,627 pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4,461 pemandu Grab, 54 pemandu Maxim dan 112 pemandu MyCar.

“Jumlah pemandu e-hailing yang layak bantuan selepas saringan oleh LPKP Sabah adalah sebanyak 3,690 pemandu Grab, 44 pemandu Maxim dan 106 pemandu MyCar.

“Jumlah selebihnya telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021 dan pemandu perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) serta lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Chin berkata, semakan bagi senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat menerusi pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.

Katanya, bagi mereka yang tidak layak, rayuan boleh dihantar kepada LPKP Sabah menerusi emel prihatin@lpkpsabah.gov.my beserta dokumen sokongan yang berkaitan sebelum 9 Ogos 2021.

“Pembayaran bantuan bagi pemandu e-hailing akan dibuat selepas tempoh rayuan ditutup,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Chin berkata, bantuan one-off kepada 2,588 pemandu pengangkutan awam di Sabah akan mula disalurkan hari ini membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.29 juta.

Katanya, pecahan jumlah penerima bantuan itu merangkumi pemandu teksi dan kereta sewa seramai 1,818 orang, diikuti pemandu bas pelancong seramai 391 orang dan seterusnya pemandu bas sekolah seramai 379 orang.

“Penerima bantuan ini adalah penerima sedia ada yang menerima bantuan PERMAI dan Geran Khas Prihatin (GKP) yang akan menerimanya secara automatik menerusi akaun bank masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|