Pemandu perodua Alza langgar SJR Pos Kawalan PKPD, diburu

Pemandu perodua Alza langgar SJR Pos Kawalan PKPD, diburu

Kota Kinabalu: Polis melancarkan operasi mengesan kereta Perodua Alza putih yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) Pos Kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Teluk Likas, di sini, semalam.

Kejadian jam 11.33 pagi itu yang sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah berhampiran turut tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan komen masyarakat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal, kenderaan berkenaan dikesan berhenti di Pos Kawalan PKPD Taman Teluk Likas.

Bagaimanapun katanya, ketika anggota bertugas cuba mendekatinya untuk pemeriksaan, pemandu kenderaan itu tiba-tiba mengundurkan kereta sehingga terlanggar Perodua Myvi yang berada di belakangnya.

“Pemandu kemudian terus bergerak ke depan dan melanggar penghadang jalan dan kawat berduri sebelum memecut ke arah Jalan Kuala Laut.

“Dalam kejadian itu, semua petugas dan pemandu kenderaan Myvi yang dilanggar suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, operasi mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan dan setakat ini polis juga masih gagal mengesan kenderaan berkenaan.

Katanya, usaha mengesan kenderaan berkenaan sedang giat dijalankan dan pengesanan juga dilakukan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana boleh
menyebabkan kematian. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kenderaan atau individu terbabit supaya tampil menyalurkan maklumat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Zulfairie Ismail ditalian 0132-2618487 atau 088-529222.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|