Dua kenderaan bawa durian ditahan, rentas daerah tanpa permit

Dua kenderaan bawa durian ditahan, rentas daerah tanpa permit

Sipitang: Dua kenderaan membabitkan van penumpang dan pacuan empat roda yang membawa muatan durian ditahan selepas gagal menunjukkan permit polis rentas daerah di Kampung Naluyan, di sini, semalam.

Dua kenderaan berkenaan dipercayai bergerak dari Kota Kinabalu ke Sipitang hanya bertujuan untuk membeli durian namun cuba berselindung disebalik surat pengesahan sebuah agensi kerajaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kedua-dua kenderaan berkenaan dikesan menggunakan dari udara hasil kerjasama Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah.

Katanya, hasil pemantauan awal, unit berkenaan mengesan sekumpulan individu berkumpul dan tidak memakai pelitup muka di gerai menjual buah-buahan di tepi jalan berhampiran pekan Sipitang.

“Ketika mereka bergerak cuba melalui melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Naluyan, pasukan polis bertugas terus menahan kedua-dua kenderaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati kedua-dua pemandu gagal menunjukkan permit polis rentas daerah yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan terus dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua individu terbabit dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan merentas daerah tanpa permit polis dan menyalahguna surat pengesahan agensi kerajaan hanya untuk membeli durian di Sipitang.

Sementara itu, Champin berkata, sejak 15 Julai lalu, beberapa kampung di daerah ini diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 secara mendadak.

“Memandangkan kita berdepan kesukaran untuk membuat pemantauan secara keseluruhannya di kawasan kampung yang diklasifikasikan PKPD.

“IPD Sipitang mendapat bantuan daripada unit Dron untuk memantau dari udara bagi memantau sebarang aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengikut Akta 342,” katanya.

Champin berkata, setakat ini, pihak Hospital Sipitang juga mengesahkan terdapat tiga kematian dilaporkan di Daerah Sipitang.

“Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 ini, IPD Sipitang menasihatkan masyarakat di daerah ini terus mematuhi SOP ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak keluar daripada rumah masing-masing dalam tempoh beberapa ini jika tiada urusan penting sehingga keadaan reda,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|