2 dalang sindiket dadah tumpas

2 dalang sindiket dadah tumpas

Kota Kinabalu: Dua dalang utama kepada sindiket pengedaran dadah di daerah ini berjaya diberkas polis dalam serbuan di sebuah pusat beli belah Imago, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun itu, ditahan bersama bekalan dadah jenis syabu seberat 2,092.70 gram yang dianggarkan bernilai RM72,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua suspek dikesan di dalam sebuah kenderaan Toyota Vios yang diletakkan di tepi pusat beli belah berkenaan.

Katanya, ketika diarah menyerah diri untuk pemeriksaan, kedua-dua suspek enggan membuka pintu sehingga memaksa pasukan polis memecahkan cermin kereta sebelum menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis syabu yang dibungkus dengan rapi di dalam plastik bertulis ‘GuanYinWang’ dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Polis percaya kedua-dua suspek ini mengutip bayaran sehingga RM1,000, namun bergantung kepada kuantiti dadah untuk setiap penghantaran,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berasal dari Sarawak dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menjalankan urusniaga jualan dadah berkenaan.

Katanya, polis juga percaya kedua-dua suspek turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di beberapa daerah sekitar.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti pembekal sebenar dadah berkenaan.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung perhimpunan Hartal Doktor Kontrak di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) hari ini, Mohd Zaidi berkata, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima.

Katanya, sekiranya laporan diterima, polis akan menjalankan siasatan sama ada berlaku sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau mengganggu lalu lintas kawasan sekitar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|