Hiburan punya pasal, 50 dikompaun

Hiburan punya pasal, 50 dikompaun

Kota Kinabalu: Keasyikkan berhibur 50 pelanggan sebuah pusat hiburan di Waterfront, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, berakhir derita apabila dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

Dalam operasi jam 9.30 malam tadi itu, semua 25 lelaki dan 25 wanita dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Selain itu, pengurus pusat hiburan terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 dan ditahan bersama tiga pekerja warga China bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi dijalankan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, ketika pemantauan dijalankan di premis berkenaan, pihaknya mendapati muzik sedang dimainkan dengan kuat dan pelanggan- pelanggan juva sedang berhibur sambil minum minuman beralkhol.

“Bagaimanapun, semua 50 pelanggan premis berkenaan didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak mendaftar di MySejahtera atau pada buku disediakan.

“Pelanggan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang membabitkan 25 lelaki dan 25 wanita kerana ingkar dan melanggar SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, semua pelanggan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, hasil pemeriksaan lesen juga mendapati premis berkenaan menggunakan lesen Restoran Kelas Dua yang mana melanggar syarat perniagaan dengan menjalankan aktiviti pusat hiburan.

“Pasukan serbuan turut merampas, satu set kelengkapan komputer, peralatan Mixer jenama Soundcraft Siexpression, pembesar suara dan alat Tp-Link,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi menasihati masyarakat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, tahap pematuhan masyarakat kepada SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah menjadi penentu kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Individu yang melakukan kesalahan pertama mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|