17 tuntutan Sabah Sarawak diputuskan PH perlukan tindakan lanjut

17 tuntutan Sabah Sarawak diputuskan PH perlukan tindakan lanjut

Kota Kinabalu: Sebanyak 17 perkara berkaitan pengembalian hak Sabah dan Sarawak yang dicapai ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini masih memerlukan tindakan lanjut sebelum boleh dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata apa yang dicapai sebelum ini hanya membabitkan persetujuan dasar dan belum boleh dilaksanakan.

Katanya, 17 perkara yang dicapai di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63) itu hanya boleh dilaksanakan selepas pindaan undang-undang berkaitan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri dibuat.

“Sebagai contoh penyerahan kuasa kawal kelia Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), terdapat empat undang-undang yang perlu dipinda dan digubal di
peringkat persekutuan dan peringkat negeri Sabah.

“Antaranya Akta Bekalan Elektrik 1970, Akta Suruhanjaya Tenaga 2001, Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011.

“Di peringkat persekutuan, Sabah perlu dikeluarkan daripada akta terbabit terlebih dahulu, manakala di peringkat negeri perlu digubal ordinan yang berkaitan sebelum pengurusan SESB dapat dilaksanakan oleh negeri Sabah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Contoh lain, katanya isu penyerahan kuasa pengedaran dan kawal selia gas LPG kepada kerajaan negeri Sarawak yang diumumkan sebagai selesai
pada 1 Jun 2021.

Katanya, sebelum instrument penyerahan kuasa itu diwartakan dan dikuatkuasakan, kerajaan perlu mengadakan perundingan terlebih dahulu dengan kerajaan Sarawak berhubung pelbagai aspek seperti kos subsidi LPG yang akhirnya dipersetujui akan terus ditanggung oleh kerajaan persekutuan meskipun kuasa pengedaran LPG diserahkan kepada kerajaan Sarawak untuk dilaksanakan.

“Ini adalah bagi memastikan penyelarasan harga jualan LPG di Sarawak adalah dibekalkan pada harga yang sama seperti yang ditetapkan bagi negeri di Semenanjung dan di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, katanya berhubung empat perkara belum selesai berkaitan minyak dan gas, semua perbincangan berkaitan perkara itu ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada penyelesaian secara komersial mengenai minyak dan gas yang sedang dibincangkan di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, Sabah dan Petronad.

Empat perkara itu ialah Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum; Mineral Minyak dan Medan Minyak; Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750); dan Hak Negeri ke atas Pelantar Benua (Akta Pelantar Benua 1966 (Akta83).

“Kerajaan yakin bahawa strategi dan pendekatan yang diambil melalui penubuhan Majlis Khas MA63 berserta Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja adalah inisiatif terbaik dan komprehensif dalam membincangkan agenda berkaitan merapatkan jurang perbezaan di antara Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

“Isu-isu yang sedang dibincangkan bukan sahaja menyentuh mengenai aspek pembangunan sosio-ekonomi di negeri Sabah dan Sarawak, bahkan mencakupi penambahbaikan dalam pelbagai aspek termasuk kewangan, pembangunan ekonomi, keselamatan negeri, perundangan dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya bagi memperhalusi tuntutan dan hak Sabah serta Sarawak, sebanyak empat Jawatankuasa Kerja ditubuhkan di bawah Majlis Khas MA63.

Pertama, katanya ialah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu (JKRS) membincang cadangan Pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) mengenai tafsiran ‘Persekutuan’, Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua ialah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak (JKSS) membincangkan perkara berkaitan keselamatan negeri seperti isu sempadan negeri Sarawak, isu imigresen seperti IMM13, Burung-Burung, Kad Banci dan PATI di Sabah.

“Yang ketiga Jawatankuasa Kerja Sosio Ekonomi (JKSE) Keperluan infrastruktur asas di negeri Sabah dan Sarawak seperti jalan raya, air, elektrik, kesihatan, pendidikan, digital, kemiskinan dan perumahan rakyat termiskin.

“Akhir sekali Jawatankuasa Perundingan Bersama Mengenai Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan (JCC) iaitu berkenaan semakan semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|