APM bantu urus jenazah Covid-19

APM bantu urus jenazah Covid-19

Tuaran: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tampil membantu urusan jenazah seorang wanita berusia 87 tahun yang meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.

Wanita terbabit, Remah Ali yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Betutai, di sini, 4 Oktober lalu, diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum disahkan positif Covid-19.

Anggota APM membantu mengurus jenazah seorang wanita yang meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 di Tuaran. Gambar ihsan APM.

Jurucakap APM dalam kenyataannya berkata, disebabkan tiada laluan darat ke tanah perkuburan Kampung Betutai, pihak KKM terpaksa mendapatkan bantuan pasukan APM Tuaran untuk urusan pengangkutan.

Katanya, pihak APM terpaksa menggunakan bot bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan Kampung Betutai, di Pulau Toront Kibing.

Anggota APM menggunakan bot bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan. Gambar ihsan APM.

“Seramai empat anggota APM dikerah untuk membantu menggunakan sebuah bot berkuasa 60 kuasa kuda untuk membawa jenazah dan empat petugas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk urusan pengkebumian.

“Operasi turut dibantu tujuh anggota KKM dan dua petugas Hospital Tuaran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di tanah perkuburan yang disediakan penduduk kampung, anggota APM terus membantu mengangkat jenazah dan menyelesaikan urusan pengkebumian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|