Rumah hilang sekelip mata

Rumah hilang sekelip mata

Kota Kinabalu: “Rumah hilang dalam sekelip mata, namun tetap bersyukur semua ahli keluarga selamat daripada kebakaran ini.”

Demikian kata Sharminah Abdul Sahid, 28, salah seorang mangsa kebakaran di Skim Penempatan Telipok, di sini, yang musnah terbakar, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang sedang bekerja di Inanam, di sini, terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga yang memaklum rumah mereka terbakar.

Katanya, tanpa memikirkan apa-apa, dia hanya membimbangkan keselamatan dua anaknya yang berusia lima dan enam tahun.

“Saya terus segera balik ke rumah dan berdoa agar semua ahli keluarga yang berada di rumah selamat.

“Apabila sampai, keadaan rumah sudah ranap sepenuhnya dimamah api. Tiada apa lagi yang dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Damai, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dan keluarga tidak tahu bagaimana nasib selepas ini dan berharap akan ada rumah untuk dijadikan tempat berteduh.

“Bapa saya yang sudah lanjut usia kini terpaksa menumpang di rumah salah seorang ahli keluarga.

“Tapi keadaan rumah mereka juga agak sempit, jadi saya tidak tahu macam mana nasib kami sekeluarga selepas ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Gunsanad, 48, berkata, dia dan keluarga yang hilang tempat tinggal mungkin terpaksa menumpang di rumah saudara mara lain.

Katanya, rumah yang didiami bersama tujuh ahli keluarga sejak 20 tahun lalu kini hanya tinggal kenangan.

Begitu juga dengan salah seorang lagi mangsa, Siti Ruyah Jimruk, 60, yang mengharapkan ada pihak tampil untuk membantu memberikan kepada mereka sekeluarga.

Sementara itu, tinjauan di pusat penempatan mangsa kebakaran kini hanya membabitkan seramai 11 orang daripada lima keluarga.

Semua mangsa membabitkan dua warga emas, tiga kanak-kanak serta enam lelaki dan wanita dewasa berusia 5 tahun hingga 68 tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|