Kastam Labuan diperintah pulangkan kenderaan Brunei

Kastam Labuan diperintah pulangkan kenderaan Brunei

Labuan: Mahkamah Sesyen Labuan semalam memerintahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan mengembalikan sebuah pacuan empat roda berpendaftaran Brunei kepada pemiliknya selepas dirampas kerana didakwa berada melebihi tempoh ditetapkan di pulau bebas cukai itu.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Egusra Ali selepas mendengar permohonan pemilik kenderaan berkenaan yang juga seorang ahli perniagaan, Wong Jyh Chyn @ James, 30 meminta perintah mahkamah agar kenderaan jenis Hilux itu dipulangkan kepadanya.

Egusra memerintahkan JKDM Labuan memulangkan kenderaan terbabit dalam masa empat hari bermula semalam.

James diwakili peguam Datuk Seri Rakhbir Singh.

Berdasarkan fakta kes, James membawa masuk kenderaan terbabit dari Brunei ke Labuan pada 20 Februari 2020 tetapi hanya dibenarkan berada di Labuan dalam tempoh tiga bulan.

James bagaimanapun tidak dapat kembali ke Brunei bersama kenderaannya berikutan penutupan sempadan negara itu dan Labuan menyebabkannya terperangkap di pulau berkenaan.

Kemudian, selepas menyedari pintu sempadan dibuka semula, James cuba keluar dari Labuan untuk kembali ke Brunei pada 18 Ogos 2021, namun ditahan JKDM Labuan dan kenderaannya dirampas.

Beliau kemudian membuat permohonan meminta supaya kenderaannya dipulangkan kepadanya, namun JKDM Labuan enggan berbuat demikian kecuali selepas James membayar bond RM10,000 sementara menunggu siasatan selesai.

James bagaimanapun enggan mematuhi bond sementara itu dan syarat yang dikenakan sebelum meminta Rakhbir selaku peguamnya untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Sesyen Labuan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk melepaskan kenderaannya dengan segera.

Dalam prosiding semalam, peguam persekutuan, Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir menyerahkan satu afidavit yang antara lain menyatakan bahawa James bertanggungjawab memaklumkan kepada JKDM yang beliau tidak dapat kembali dalam tempoh ditetapkan.

Beliau turut menyatakan tiada sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu dibuat James.

Rakhbir bagaimanapun berhujah bahawa beban berkenaan tidak boleh dipindahkan kepada anak guamnya atau mana-mana pemilik kenderaan atas perkara itu bagi memaklumkan JKDM jika sempadan dibuka semula.

Ini kerana katanya, JKDM adalah pihak yang berkuasa dan menjadi pihak yang pertama mengetahui sama ada sempadan sudah dibuka atau tidak.

Rakhbir juga berhujah situasi itu sama seperti tiket penerbangan yang mana menjadi tanggungjawab syarikat penerbangan memaklumkan kepada penumpang jika penerbangan ditunda, ditangguhkan atau dibatalkan.

Jelasnya, syarikat penerbanganlah yang memaklumkan kepada penumpang dan bukan sebaliknya.

Katanya, bebanan tidak boleh dipindahkan kepada pemilik kenderaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|