Tanjung Aru Nelayan lokasi kaki pancing pesisir pantai di Labuan

Tanjung Aru Nelayan lokasi kaki pancing pesisir pantai di Labuan

Labuan: Sebuah perkampungan di pesisir pantai, Kampung Tanjung Aru Nelayan, di sini berpotensi menjadi lokasi tarikan pelancong di pulau bebas cukai ini.

Terletak lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar Labuan, Kampung Tanjung Aru Nelayan bukan sahaja menyajikan pemandangan indah ketika matahari terbit dengan kelibat Gunung Kinabalu tetapi juga menjadi lokasi kaki pancing pesisir pantai.

Haji Amir (lima kiri), Fadilah (tiga kiri) dan Harun (dua kiri) bersama pemenang cabaran memancing di batin.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien, berkata Kampung Tanjung Aru Nelayan mempunyai keunikan tersendiri berbanding pantai–pantai lain di Labuan dengan alam semula jadi paya bakau yang masih terpelihara dan pantai ‘dara’ dengan hamparan pasir putih landai dan luas.

“Di samping ketenangan alam semula jadi dan keindahan pemandangan matahari terbit, pantai Tanjung Aru Nelayan juga mula menjadi lokasi kaki pancing pesisir pantai dan pada tahun ini rekod ikan putih atau lebih dikenali dengan pangilan ikan G.T seberat 19 kg berjaya dinaikkan di pantai ini,” katanya ketika menyempurnakan penyampian hadiah program Sunrise Beach di pantai Tanjung Aru Nelayan pada Ahad lalu.

Dua peserta cabaran memancing di batin berlatarbelakngkan Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5, Fadilah Eddy Adbul Khalid, berkata pada setiap hujung minggu penduduk kampung akan membuka gerai tamu mini di pantai Tanjung Aru Nelayan yang menyajikan makanan dan minuman tempatan.

“Pada hujung minggu tempat ini menjadi tumpuan warga Labuan untuk beriadah bersama keluarga sambil menikmati hidangan makanan dan minuman di gerai-gerai yang dibuka oleh penduduk kampung.” katanya.

Peserta pertandingan ‘Meramis’ program Sunrise Beach pada Ahad lalu.

Pada Sabtu dan Ahad lalu berlangsung Program Sunrise Beach yang dianjurkan Majlis Perwakilan Penduduk (Sub Zon) 5 bersama Anak Jati Keluarga & Komuniti Kg Tanjung Aru dan Kelab Labuan Surfcasting (LSC) yang mengadakan beberapa aktiviti antaranya pertandiangan memancing tradisi, pertandingan meramis dan cabaran memancing di batin.

Perasmian program telah dilancarkan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias pada Sabtu dan penutup disempurnakan oleh Dato Sri Hj Amir Hj Hussien Pengerusi Perbadanan Labuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|