Sandakan: Lima kenderaan remuk selepas dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Panglima Adam, Jambatan 11, Kampung Bukara, di sini, malam tadi.
Kejadian jam 9 malam itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.04 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kejadian didapati lima kenderaan yang remuk adalah Toyota Vigo, Toyota Alphard, Ford Ranger, BMW dan Perodua Alza.
“Pasukan operasi kemudiannya bertindak memotong pokok dengan menggunakan peralatan gergaji berantai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, kejadian ini tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa di laporkan.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 1 pagi.
-Deasoka