LAHAD DATU: Akibat gagal mengemukakan penyata pendapatan,seorang Pengarah Syarikat yang sepatutnya membayar RM 882 ribu kini terpaksa menanggung bayaran cukai dan penalti cukai RM 3.53 juta.
Tertuduh, Wee Yung Heow,59, didapati bersalah dibawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana telah gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi Tahun Taksiran 2020 dan 2021 dengan tidak ada sebab munasabah kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Majistret Ryan Sagiran Rayner Junior juga telah menjatuhkan hukuman penalti khas cukai tiga kali ganda iaitu RM 2.6 juta dan denda RM 10,000, jika gagal bayar akan dipenjara tiga bulan.
Menurut Peguam Hasil LHDN, Mohamad Arif Hermansah, pendapatan bercukai tertuduh bagi dua tahun tersebut berjumlah RM 4.028 juta dan layak dikenakan cukai RM 882 ribu.
Hadir sama dalam prosiding mahkamah, Pengarah Operasi Negeri LHDNM Sabah, Md Fahmi Md Said, Peguam Hasil, Saluminor Jamaludin dan Pegawai Penyiasat LHDN Lahad Datu,Abdul Haya Langarai.
Deasoka