Tuntutan 40 %, usaha gigih Ewon perlu disokong semua pihak: Pemuda UPKO

Tuntutan 40 %, usaha gigih Ewon perlu disokong semua pihak: Pemuda UPKO

Kota Kinabalu: Perbezaan politik seharusnya diketepikan dalam usaha mencari penyelesaian hak tuntutan pembayaran hasil cukai 40 peratus kepada negeri Sabah.

Ketua Pemuda UPKO Malaysia, Felix Joseph Saang berkata, kegigihan dan usaha berterusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick selaku kapasitinya sebagai menteri kabinet Persekutuan perlu disokong semua pihak.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menyusun atur cadangan kerangka pembayaran yang akan dibentangkan kepada Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat ini.

“Ini merupakan satu langkah yang disusuli dengan tindakan progresif bagi memastikan hak negeri Sabah yang selama ini seakan-akan terkubur atau dilupakan dikembalikan semula.

“Tiba masanya untuk kita ketepikan perbezaan fahaman dalam menuntut pembayaran hasil cukai 40 peratus,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Felix berkata, beliau sedar, ramai pihak hanya menyuarakan atau memperjuangkan isu ini namun sehingga kini tiada sebarang kaedah konkrit mengenai cara penyelesaiannya.

“Lebih-lebih lagi dalam soal isu-isu teknikal mengenai tuntutan berkenaan yang perlu ditimbangkan.

“Ternyata masih ramai yang belum memahami sepenuhnya. Apa yang pasti, usaha Ewon dan UPKO adalah telus untuk menuntut hak dan kepentingan Sabah seadil-adilnya,” tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|