Tikam isteri hingga mati, lelaki dihukum penjara 14 tahun

Tikam isteri hingga mati, lelaki dihukum penjara 14 tahun

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun kepada seorang lelaki selepas didapati bersalah menikam isterinya sehingga mati.

Hakim, Datuk Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas tertuduh, Jakaria Abu Bakar, 56, atas pertuduhan tersebut dari tarikh tangkapan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati bersalah sehingga menyebab kematian isterinya, Norminah Bollok, 45, di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Pinggir Bakau, Semporna pada 22 Januari tahun 2017.

Tertuduh didakwa menikam mangsa sehingga mati selepas berlaku pertengkaran kerana mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Kes berkenaan kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan namun dikenakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum 30 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain manakala tertuduh diwakili Penguam Bela, Andy Tay.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan selepas didapati bersalah kerana mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 128.86 gram.

Tertuduh, Nedzmar Palaudin, 51, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Jalan Bandar Dahlia, Lahad Datu pada 16 Disember 2021.

Hakim, Datuk Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu selepas pihak peguam bela tertuduh gagal membuktikan keraguan melampaui munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh turut dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana didapati menetap di negeri ini secara haram.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|