Pembinaan Kompleks Latihan OKU Sandakan mantapkan potensi

Pembinaan Kompleks Latihan OKU Sandakan mantapkan potensi

SANDAKAN: Pembinaan sebuah Kompleks Latihan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Sandakan diyakini membantu golongan berkenaan yang memerlukan bantuan untuk hidup berdikari sekali gus menyumbang kepada produktiviti negara.

Dengan kos pembinaan sebanyak RM3.2 juta, kompleks latihan yang sedang dibina merupakan pusat latihan kedua di negeri ini selepas Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU Kimanis, Papar.

Menurut, Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) Ali Hassan Kahar ia bukan sahaja memberikan latihan dari segi kemahiran dan pembelajaran berkaitan OKU tetapi juga memudahkan penduduk Zon Pantai Timur Sabah terutama yang ada anak OKU tanpa perlu lagi menghantar anak-anak mereka mendapat latihan di Kota Kinabalu dan sekitarnya.

Ali Hassan (duduk kiri) bersama Khatizah dalam Majlis Riang Ria Aidilfitri dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat, Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sandakan.

“Dia membuka ruang yang sangat besar kepada anak-anak OKU Zon Pantai Timur ni daripada Tawau sampai Sandakan eventhore di Kinabatangan untuk memudahkan mendapatkan latihan di kompleks yang baru di Sandakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Riang Ria Aidilfitri dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat, Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sandakan Sesi 2024 – 2026 di sini.

Mengulas lanjut, Ali Hassan berkata pembinaan kompleks latihan ini dilihat penting memandangkan kapasiti kompleks sedia ada tidak dapat lagi menampung penghuni OKU.

Dalam pada itu, katanya sebanyak lima buah institusi taman didikan kanak-kanak OKU terdapat di Sabah termasuk sebuah pusat latihan yang lebih besar dengan pendekatan memberikan penjagaan dan pemulihan.

Mengenai pelantikan Ahli Lembaga Pelawat di TDKKU Sandakan, katanya peranan dan fungsi Lembaga Pelawat sangat penting dalam menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak termasuk membantu pentadbiran institusi itu.

“Sebenarnya lembaga pelawat ni kita memang bergantung harap sangat dapat membantu kita punya pentadbiran institusi ya dalam membantu dari sudut program, dari sudut kemudahan dan dari sudut komunikasi kepada pihak luar also kepada kempen yang program jabatan buat tanpa ahli lembaga pelawat ni memang terlalu susah dan sukar laa untuk institusi tu sendiri untuk bergerak,” jelasnya.

Beliau turut mengambil kesempatan dengan merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan jawatankuasa Ahli Lembaga Pelawat TDKKU Sandakan diketuai oleh Pengerusinya, Datin Khatizah Polo atas usaha dan inisiatif membantu menggerakkan institusi tersebut.

“Selama kami jadi ahli lembaga pelawat, kami mempastikan yang kami akan membantu untuk keperluan dan mencari dana untuk program demi kebajikan dan kepentingan kanak-kanak OKU di institusi ini,” kata Khatizah.

TDKKU Sandakan mempunyai penghuni seramai 35 kanak-kanak OKU dan pencapaian institusi ini apabila tujuh penghuninya berjaya ke sekolah menerusi Program Pemulihan Khas Integrasi (PPKI).

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|