Final Sugandoi Dazanak Kaamatan, Sugandoi Kaamatan peringkat Bandaraya KK esok

Final Sugandoi Dazanak Kaamatan, Sugandoi Kaamatan peringkat Bandaraya KK esok

KOTA KINABALU: Orang ramai adalah dijemput hadir untuk menyaksikan Pertandingan Akhir Sugandoi Dazanak Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu 2024 dan Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2024 yang akan berlangsung pada 11 Mei 2024 (Sabtu), esok.

Pertandingan Akhir Sugandoi Dazanak Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu 2024 yang diadakan di Palm Square, Tingkat 4, Centre Point Sabah bermula jam 11.00 pagi itu akan menampilkan lima (5) finalis yang bakal berentap bagi merebut gelaran juara sekali gus mewakili Bandaraya Kota Kinabalu dalam pertandingan Dazanak Kaamatan Peringkat Negeri yang akan diadakan di Dewan Hongkid Koisaan KDCA, pada 30 dan 31 Mei depan.

Antara finalis Dazanak Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu yang akan bertanding ialah Hannaleigh Annavau Siumin, Mia Chantal, Muhlis Huzrev Ozakan, Chloe Elzzea dan Hannah Jean.

Pemenang Sugandoi Dazanak akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 (Juara), RM900 (Naib Juara) dan RM800 (Ketiga) beserta trofi dan sijil masing-masing, manakala dua pemenang Saguhati akan membawa pulang RM500.

Bahang sambutan Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu diteruskan dengan Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2024 yang akan diadakan di The Oval, Ground Floor, IMAGO Shopping Mall, bermula jam 2.00 petang esok.

Seramai sembilan finalis akan bertanding dan merebut peluang menjadi antara tiga wakil ke Pertandingan Sugandoi Peringkat Negeri akan datang.

Antara barisan finalis Sugandoi Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2024 ialah Jester Jeffrey, Ain Fariesha, May Avellyanna Kein, Maxcresper Melon, Jessie Janius, Khoo Wei Yong @ Charles, Elden Isos, Anthonio Petrus dan Princess Padili.

Juara Sugandoi Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu bakal memenangi hadiah berupa wang tunai RM2,000 beserta sebuah trofi dan sijil.

Manakala, Naib Juara dan Ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,500 dan RM1,000 beserta sebuah trofi dan sijil. Sementara itu, pemenang kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik masing-masing akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500.

Warga Bandaraya Kota Kinabalu adalah dijemput untuk beramai-ramai hadir menyaksikan dan memberi sokongan kepada barisan finalis yang akan bertanding pada 11 Mei 2024 ini, dan seterusnya mewakili Bandaraya Kota Kinabalu ke Peringkat Negeri.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|