QSB terus beri sokongan kepada Sabah FC menerusi sumbangan RM500,000

QSB terus beri sokongan kepada Sabah FC menerusi sumbangan RM500,000

KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad (QSB) menyampaikan sumbangan korporat RM500,000 kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk pengurusan pasukan Sabah FC.

Replika cek disampaikan oleh Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yacob kepada Pengarah Sabah FC Mohd Joh Wid dan turut hadir Presiden SAFA yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB Ahmad Rizal Dahli.

Dr Yusof berkata, sumbangan ini merupakan satu bentuk sokongan supaya sukan utama di negeri ini iaitu bola sepak dapat dikembangkan.

“Kita tahu sukan ini memerlukan dana dan hari ini Kumpulan QSB menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada SAFA yang diputuskan oleh Lembaga Pengarah QSB dan yang mampu pada masa ini.

“Mudah-mudahan Insya Allah pada masa hadapan bila Qhazanah (QSB) dapat keuntungan bolehlah kita agih-agihkan lebih daripada itu,” katanya kepada media selepas selepas majlis penyerahan sumbangan yang diadakan sempena Majlis Aidilfitri dan Kaamatan Kumpulan QSB di Menara Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, kumpulan QSB setiap tahun memberi sumbangan korporat kepada SAFA untuk pengurusan pasukan bola sepak Sabah FC.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, memang sekarang ini, QSB dalam proses transformsi atau mengubah startegi perniagaan baru.

“Ini termasuk mengaktifkan semua anak-anak syarikat sebagai pusat keuntungan dan akan menyumbang pendapatan kepada kumpulan QSB dan keseluruhannya nanti QSB akan menyumbang dividen kepada Kerajaan Negeri dan itu matlamat kita.

“Dan saya telah lihat kita punya potensi yang sangat besar dan sangat baik. Insya Allah mudah-mudahan kita dapat laksanakan pada masa mendatang iaitu pada penggal keempat tahun ini kita sudah lihat apa yang sudah kita rancang dan laksana itu menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey berkata, sumbangan daripada QSB ini begitu bermakna sekali untuk SAFA khususnya untuk Sabah FC dalam membantu pengurusan kewangan Sabah FC menghadapi musim 2024-2-25.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada QSB terhadap sumbangan ini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|